RESEARCH SESSION: “HOW TO IMPROVE YOUR RESEARCH VISIBILITY?”

Unit Bantuan Penyelidikan dengan kerjasama ies Research Consulting telah menganjurkan aktiviti perkongsian maklumat berkaitan penyelidikan bertajuk Research Sesssion: “How to improve your research visibility?” pada 23 Mei 2019 (Khamis) bertempat di Bilik Pangkalan Data, Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM. Peserta yang hadir adalah terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pasca siswazah seramai 27 orang.

Penganjuran aktiviti ini merupakan satu platform perkongsian ilmu yang memberi pendedahan dan peluang kepada penyelidik mengetahui kepentingan menjadikan artikel penerbitan mereka keternampakan (Visibility) diperingkat antarabangsa.

Objektif penganjuran aktiviti ini adalah untuk mengkaji penerbitan penyelidikan menjadi sebuah cerita yang membolehkan masyarakat memahami penemuan penyelidikan dengan visual dan/atau animasi bagi meningkatkan keternampakan dan jumlah sitasi penyelidikan. Seterusnya hasil pengubahan ini akan menjadikan penerbitan penyelidik dapat dikongsi menggunakan media sosial bagi meningkatkan jejak digital penyelidikan. Semua tindak balas dalam talian ini akan dikumpulkan dan dianalisa mengikut petunjuk komunikasi ilmiah, seperti altmetrik.

Isi kandungaan sesi perkongsian kali ini adalah pengolahan artikel penyelidikan dari bahasa saintifik kepada bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan masyarakat. Antara lain, penceramah berkongsikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh para penyelidik sebelum hasil kajian mereka boleh disebarkan dengan lebih sistematik bagi mendapat jaringan meluas dan meningkatkan jumlah sitasi setiap penerbitan.

Disamping itu, penyelidik digalakkan mengubah maklumat artikel dari bentuk penulisan kepada bentuk info-grafik yang mudah difahami bagi menarik minat orang ramai membaca dan memahami isi kandungan kajian penyelidikan berkenaan. Kaedah ini adalah antara salah satu ikhtiar bagi menarik minat penyelidik di bidang lain menjalinkan hubungan jaringan dengan penyelidik UTeM.

Sesi perkongsian ini telah dikendalikan oleh wakil ies Research Consulting iaitu En. K. C. Tang. Penyelidik yang berminat mengetahui lanjut mengenai perkhidmatan ini boleh berhubung terus dengan beliau untuk perbincangan lanjut.

*Foto sekitar program di SINI

Advertisements

MAJLIS SOFT LAUNCHING PENGOPERASIAN RUANG 24 JAM PERPUSTAKAAN LAMAN HIKMAH (PLH)

Majlis Soft Launching Pengoperasian Ruang 24 Jam Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan pada Jumaat, 17 Mei 2019 bersamaan 12 Ramadan 1440H.

Majlis telah dirasmikan oleh YBhg.Profesor Datuk Ts.Dr.Shahrin Bin Sahib (Fasc), Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). Majlis turut dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor, Ketua Pegawai Maklumat, Dekan-dekan fakulti, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan serta Majlis Persatuan Pelajar UTeM.

Objektif penganjuran majlis ini adalah bertujuan memaklumkan kepada warga UTeM tentang perkhidmatan baru iaitu pengoperasian 24 jam di Aras 1 Kampus Induk yang ditawarkan oleh PLH. Selain itu, ruang yang ditawarkan ini juga bertujuan untuk membantu Universiti dalam menyokong penyediaan ruang kepada warga UTeM dengan menjadikan Aras 1 Perpustakaan Kampus Induk sebagai ruang 24 jam dan meeting point oleh pelajar dengan siapnya asrama baharu UTeM yang berkapasiti 5,000 orang pelajar pada September 2017 dan bangunan Fakulti Teknologi Kejuruteraan bersebelahan Perpustakaan yang kini dalam proses pembinaan.

YBhg. Naib Canselor telah menekankan bahawa dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, PLH perlu mengambil langkah berani untuk bersaing dan menerokai pembaharuan bagi memastikan evolusi perkhidmatan yang dinamik dapat diterjemahkan agar menjadikannya terus kekal relevan sebagai pusat maklumat dan rujukan kepada warga universiti seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Transformasi kemudahan ruang ke arah pengoperasian 24 jam yang telah dilaksanakan seharusnya menjadikan PLH Kampus Induk berfungsi sebagai learning commons yang menjadi tumpuan utama pengguna.

Menjadi harapan YBhg. Naib Canselor agar pengguna dapat memanfaatkan kemudahan ini bukan sahaja sebagai  tempat untuk mengulangkaji tetapi juga sebagai prime hangout spot yang dapat mengubah landskap perpustakaan itu sendiri tanpa mengurangkan fungsi asasnya.

Majlis telah berakhir pada jam 11.15 pagi dengan lawatan oleh para tetamu ke ruang 24 jam, aras 1.

*Foto sekitar majlis di SINI

BENGKEL PEMURNIAN DAFTAR RISIKO PERPUSTAKAAN LAMAN HIKMAH

Bengkel  Pemurnian  Daftar Risiko Perpustakaan Laman Hikmah telah diadakan pada 23 & 24 April 2019 jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat  di Bilik Seminar 2, PLH. Taklimat bengkel ini telah disampaikan oleh Profesor  Madya IR. Dr. Mohd Rizal bin Alkahari, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik Kualiti dan Risiko (PPSKR) dibantu oleh Dr. Abdul Karim bin Mohamad,  Timbalan Pengarah PPSKR dan Puan Idamurni binti Ismail Pengurus Risiko UTeM. Seramai 33 orang staf PLH telah menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada kumpulan pengurusan profesional dan kumpulan pelaksana.

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan penerangan kepada para peserta berkaitan pengurusan risiko dan kaedah pengisian daftar risiko mengikut format yang digunapakai oleh universiti. Selain itu, para peserta juga dikehendaki untuk mengenalpasti risiko baru di samping memurnikan daftar risiko yang sedia ada agar lebih jelas dan sistematik.

REFERENCE OPEN HOUSE (ROH)

Penganjuran program Reference Open House (ROH)” atau lebih dikenali sebagai “Hari Bersama Pelanggan” adalah salah satu inisiatif perpustakaan mendekati warga UTeM bagi meningkatkan perkhidmatan yang lebih efektif dan efisien.

Program ROH yang telah dianjurkan pada 3 April 2019 bertempat di Ruang Santai, PLH adalah salah satu wadah untuk berinteraksi secara langsung dan mengambil respon pengguna bagi mengenalpasti keberkesanan perkhidmatan perpustakaan. Selain menyediakan ruang soal dan jawab, pelbagai aktiviti turut disediakan untuk memeriahkan program dan mengeratkan silaturahim antara pengguna dan staf perpustakaan.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan pada hari tersebut adalah Kaunter Pertanyaan Oleh Seksyen Rujukan, Kaunter Zakat, Kaunter LHDN, Kaunter Mary Kay, Kuiz (Spot your Question), Permainan uji minda, Phootobooth dan Program Agency Talk bertajuk Mesej dari penjara: Peluang ke-2.

Lebih 100 pengguna telah hadir memeriahkan aktiviti di semua kaunter pada sebelah pagi manakala seramai 185 orang pelajar dan staf UTeM, wakil PERPUSTAM dan wakil Kolej Yayasan Saad (KYS) telah turut sama di dalam sesi talkshow oleh Jabatan Penjara Malaysia pada sebelah petang.

Secara keseluruhannya, program ROH ini telah berjaya mencapai objektif dan mendapat maklum balas yang positif daripada pengguna perpustakaan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini! Semoga perpustakaan terus maju dan menyerlah di masa akan datang.

 

TAKLIMAT KESEDARAN INDOOR AIR QUALITY (IAQ)

Jawatankuasa Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKKP) Bangunan Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTeM telah mengadakan satu taklimat bertajuk Indoor Air Quality (IAQ) pada 4 April 2019 bertempat di Bilik Tayangan, PLH. Taklimat ini telah dihadiri seramai 41 orang yang terdiri daripada staf dan pelajar.

Taklimat disampaikan oleh En Nor Mohd Razif Noraini, Senior Executive NIOSH  dan Dr. Sytty Mazian Mazlan daripada NIOSH, Bangi Selangor Darul Ehsan. Taklimat ini adalah bertujuan  bagi  memberi  penerangan  berkenaan  hubung  kait  kualiti  udara dalaman terutamanya ruang kerja serta persekitaran pejabat terhadap manusia. Disamping itu juga, penerangan berhubung peraturan-peraturan berkaitan penguatkuasaan dan kaedah piawaian bagi membuat kajian atau penyelidikan berhubung IAQ juga turut disampaikan dengan bantuan alatan asas seperti Velocalc Meter bagi mengukur kadar aliran udara dan Thermometer & Humidity Data Logger bagi membaca bacaan suhu dan tahap kelembapan ruang.

Selepas Taklimat IAQ berakhir, satu Laporan Indoor Air Quality bagi Penerbit UTeM telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, PLH. Laporan ini membentangkan tentang hasil dapatan pemeriksaan IAQ di Penerbit Universiti oleh pihak  NIOSH.

Dalam pembentangan tersebut, Prof. Dr. Mohd Ridzuan Bin Nordin, Penolong Naib Canselor (Pembangunan & Pengurusan Fasiliti), mencadangkan agar Bangunan PLH mempunyai alat pengukur suhu bagi memastikan kelembapan (humidity) bangunan menepati standard (24°) yang ditetapkan dan bahan dapat dipelihara dengan baik kerana suhu dan kelembapan merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kerosakan bahan bercetak.

Pembentangan Laporan Indoor Air Quality berakhir pada jam 01.00 tengahari.

 

 

ACM & ASME TRAINING

Perpustakaan adalah nadi akademik dalam melestarikan kecemerlangan ilmu sesebuah institusi. Ianya memainkan peranan begitu penting dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan untuk mendapatkan sumber informasi terbaharu dan peranannya masih relevan meskipun perkembangan teknologi amat pesat pada masa kini.

Peranan sesebuah perpustakaan bukan sahaja berfokus terhadap tugasan rutin seperti urusan pembelian buku, pinjaman bahan dan susunan buku di rak tetapi juga menjadi pemangkin kepada warga pelajar berilmu melalui pengaksesan maklumat dan ilmu komprehensif, relevan dan terkini.

Sehubungan itu, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah mengadakan ACM & ASME Training bertempat di Bilik Pangkalan Data pada 10 April 2019 dengan kerjasama Access Dunia bagi meningkatkan pengetahuan pengguna dalam pencarian maklumat. Latihan anjuran Unit Perkhidmatan Pelanggan, Seksyen Rujukan ini telah dihadiri oleh 24 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah.

Sesi latihan ini memfokuskan kaedah carian dan penggunaan pangkalan data ACM Digital Library dan ASME Digital Collection dalam menyokong proses pembelajaran,  pengajaran dan penyelidikan di UTeM. Latihan ini juga diyakini dapat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pencarian maklumat dan memberi pendedahan tentang teknik berkesan dengan penggunaan subjek atau kata kunci yang tepat melalui penggunaan pangkalan data tersebut.

Sesi latihan ini telah disampaikan oleh Encik Mazlan Abdul Latif bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 12.00 tengah hari.

untitled4untitled5untitled6

TALKSHOW MESEJ DARI PENJARA : PELUANG KE-2

Pada 3 April 2019, Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia, Melaka telah menganjurkan sebuah Talkshow yang bertajuk Mesej dari Penjara : Peluang ke-2 bersempena dengan program Reference Open House (ROH) anjuran Seksyen Rujukan, Bahagian Perkhidmatan Maklumat.

Objektif talk show ini ialah bagi menjalin kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan agensi kerajaan bagi meningkatkan hubungan dengan komuniti di samping mempromosi perkhidmatan perpustakaan kepada warga universiti, agensi kerajaan dan masyarakat luar.

Buat julung kalinya, talkshow anjuran Unit Perkhidmatan Pelanggan kali ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UTeM dan pihak luar apabila dihadiri oleh 185 orang peserta merangkumi 91 orang pelajar UTeM, 91 orang staf UTeM, 2 orang staf PERPUSTAM dan  seorang staf Kolej Yayasan Saad (KYS).

Talkshow kali ini menampilkan kelainan dengan mengetengahkan perkongsian pengalaman daripada Jabatan Penjara Malaysia dan juga kisah benar  dari seorang bekas banduan yang telah dibebaskan.

Program dimulakan dengan slot perkongsian pengalaman daripada Ketua Inspektor Penjara Mohamad Azan bin Mat Suhat daripada Pejabat Pengarah Penjara Negeri Melaka. Peserta diberikan kesedaran tentang bentuk-bentuk hukuman yang dijalani oleh seseorang banduan apabila dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah. Peserta juga ditayangkan dengan video pendek sesi hukuman sebatan rotan bagi tujuan kesedaran.

Sesi seterusnya beralih kepada slot perkongsian pengalaman daripada bekas banduan  yang menerima hukuman penjara atas kesalahan dadah dan juga pecah rumah. Slot tersebut dikendalikan oleh Encik Azman Amir selaku pemudah cara. Program bertambah rancak dengan sesi soal jawab daripada peserta terhadap bekas banduan dan juga pegawai penjara. Talkshow ini telah diadakan di Ruang Santai, Perpustakaan Laman Hikmah pada jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang dengan jayanya.

TAKLIMAT TATACARA PENGURUSAN ASET UNIVERSITI

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) telah mengadakan Taklimat Tatacara Pengurusan Aset Universiti pada 20 Mac 2019 yang lalu.  Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Sabarina binti Abdullah, Timbalan Bendahari Kanan, Bahagian Pengurusan Sumber dan dibantu oleh En Hary bin Ujang, Penolong Bendahari Kanan dari Pejabat Bendahari. Sesi taklimat yang bermula pada jam 10.00 pagi ini telah berlangsung selama 3 jam dan telah diadakan di Bilik Tayangan, Aras 2, Bangunan PLH.  Taklimat ini telah dihadiri oleh staf PLH dan staf dari Penerbit Universiti.

Tujuan taklimat ini diadakan adalah bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada semua staf di PLH berkaitan tatacara pengurusan aset bermula daripada pembelian aset sehingga ke peringkat pelupusan aset.  Melalui taklimat ini pelbagai perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan oleh penceramah bagi menjelaskan kepentingan penjagaan aset-aset Universiti.

Sesi taklimat ini amat berguna kepada semua staf di PLH dan secara tidak langsung dapat menimbulkan kesedaran dalam menjalankan tanggungjawab sebagai staf di UTeM terutama dalam penjagaan harta Universiti.

56500785_10156456359999480_5116313614503903232_n

 

SCIENCEDIRECT & SCOPUS TRAINING

Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) merupakan perpustakaan akademik yang berfungsi sebagai gedung ilmu yang menyokong pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan kepada warga UTeM. Dengan peredaran masa kini, peranan perpustakaan masih lagi relevan dalam memainkan peranan asasnya dan mewujudkan nilai tambah dalam menawarkan kemudahan dan perkhidmatan yang memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.

Lanjutan daripada itu, PLH telah mengadakan ScienceDirect & Scopus Training bertempat di Bilik Pangkalan Data  pada 19 Mac 2019 (Selasa) dengan kerjasama Elsevier. Aktiviti anjuran Unit Perkhidmatan Pelanggan, Seksyen Rujukan, PLH ini telah dihadiri oleh 42 orang peserta.

Sesi latihan ini memfokuskan kaedah carian dan penggunaan pangkalan data ScienceDirect dan Scopus dalam membantu bidang penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran kepada ahli akademik, penyelidik dan pelajar pasca siswazah.

Di antara objektif latihan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai pencarian maklumat dan memberi pendedahan tentang teknik berkesan mendapatkan maklumat melalui penggunaan pangkalan data tersebut.

Sesi latihan ini telah disampaikan oleh Puan Ling Yu Lang bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada 1.00 tengah hari.

 

Family Day LISTAC 2019

Kelab Staf Perpustakaan Laman Hikmah (LISTAC) telah mengadakan “Family Day LISTAC 2019” pada 16 Mac 2019 bertempat di Tapak Rekreasi Kokurikulum, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Antara tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama staf di samping berkenalan dengan ahli keluarga staf yang turut hadir. Sesi pendaftaran bermula seawal jam 7.30 pagi dan majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Encik Isa bin Md.Dom, Ketua Pegawai Maklumat (CIO), UTeM. Seterusnya, majlis diteruskan dengan aktiviti senamrobik, sesi bergambar dan acara sukaneka yang dibahagikan mengikut kategori kanak-kanak, dewasa dan pasangan staf dengan kerjasama daripada Kelab Rekreasi dan Sukan Ekstrem UTeM (KeReX).

Majlis kemudiannya berehat seketika untuk jamuan makan tengahari dan solat zohor.  Pelbagai menu menarik telah disajikan sewaktu program berlangsung. Acara sebelah petang diteruskan lagi dengan aktiviti cabutan bertuah dan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang bagi acara sukaneka yang telah diadakan. Tahniah  kepada AJK LISTAC yang telah bertungkus lumus merancang dan menjayakan Family Day LISTAC 2019 dan terima kasih juga diucapkan kepada semua warga perpustakaan yang sudi meluangkan masa bagi program ini. Semoga penganjuran aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.