Library Day 2016 merupakan suatu aktiviti bagi menarik minat pengguna generasi Y yang gemar kepada aktiviti santai dan menghiburkan. Aktiviti ini adalah kesinambungan daripada program Festival Membaca dan Jom Borak yang pernah diadakan pada tahun 2014 dengan suntikan baru dalam kandungan programnya.

Library Day 2016 telah berlangsung selama tiga hari iaitu dari 2 hingga 4 Mac 2016. Aktiviti yang padat telah dijadualkan pada 2 Mac 2016 seawal jam 9 pagi sehingga jam 5.00 petang.

Tujuan program ini diadakan adalah sebagai inisiatif untuk mendekatkan perpustakaan dengan warga UTeM bagi memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara terus dalam mendapatkan sebarang informasi, mengajukan pertanyaan dan pendapat serta mengetahui lebih mendalam mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Program yang diadakan dalam tempoh satu hari ini adalah khusus untuk merapatkan ukhuwah dan jalinan mesra sesama warga universiti dalam pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.

Program yang diterajui oleh Encik Azman bin Hj Ayup selaku Ketua Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan Maklumat berjaya menarik lebih 200 orang peserta untuk menyertai pertandingan yang diadakan sepanjang hari. Ia telah dirasmikan oleh Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan UTeM.

Antara aktiviti yang menarik adalah Wheel of Fortune yang menggunakan konsep rancangan televisyen Roda Impian. Penyertaan secara walk in ini terbuka kepada pelajar dan staf UTeM. Soalan adalah berdasarkan kategori yang disediakan seperti pengetahuan am, negeri, artis, perpustakaan dan UTeM.

Pertandingan ini telah menarik minat seramai 44 orang warga UTeM mendaftar sebagai peserta dan hanya 16 orang pemenang sahaja yang dipilih berdasarkan jawapan yang betul dan tepat serta memenangi hadiah berupa wang tunai. Suasana riuh rendah pusingan roda serta sorakan penyokong menggamatkan lagi aktiviti berkenaan.

Aktiviti lain yang tidak kurang hebatnya yang menguji kecergasan fizikal dan minda adalah Tresure Hunt. Aktiviti ini melibatkan 10 kumpulan dengan tiga orang ahli setiap kumpulan memerlukan peserta menyelesaikan sesuatu masalah di setiap point yang ditetapkan.

Aktiviti ini adalah acara paling kemuncak yang dinantikan peserta yang dimulakan dengan sorakan kumpulan atau war cry pada pada jam 2.30 petang di hadapan kaunter Sirkulasi. Hadiah berupa wang tunai untuk pemenang merupakan ganjaran paling bermakna bagi pelajar.

Pertandingan Counter Strike merupakan pertandingan yang paling awal menutup penyertaannya kepada umum kerana telah mencapai had penyertaan iaitu seramai 32 orang untuk lapan kumpulan sahaja. Bilangan peserta yang paling ramai menyertai pertandingan ini adalah daripada pelajar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK). Pertandingan ini menguji ketangkasan, kerjasama dan strategik menewaskan pihak musuh secara atas talian yang diadakan di dalam Bilik Pangkalan Data.

Perpustakaan kampus cawangan juga turut mengambil bahagian dengan menyediakan berberapa pertandingan untuk disertai oleh warga kampus cawangan. Antaranya adalah aktiviti teka muka surat buku dan pengguna bertuah. Pengguna bertuah di setiap kampus cawangan menerima hadiah berupa barangan dan baucer.

Aktiviti-aktiviti lain yang dipertandingkan ialah monopoli elektronik, dam ular gergasi, congkak dan web opac genius. Turut diadakan ialah Hari Bersama Pelanggan dan Gerai Pangkalan Data.

Pada hari kedua, diadakan program Derma Darah yang mendapat sambutan hangat daripada warga UTeM. Ia adalah inisatif Perpustakaan UTeM dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Jabatan Patologi, Hospital Besar Melaka.

Sepanjang tiga hari Library Day 2016 diadakan, terdapat lebih 10 gerai menjual makanan beroperasi di tapak parkir perpustakaan.

Secara kesimpulannya, Library Day 2016 telah berjaya dianjurkan dengan penglibatan peserta di kalangan warga UTeM dengan kepelbagaian aktiviti yang dijalankan bagi mencapai matlamat yang diharapkan. Program ini adalah wajar diteruskan sebagai penghargaan kepada pengguna setia perpustakaan di samping menarik minat mereka untuk datang ke perpustakaan.

DSC_5099

ld1

ld2

ld3

ld4

ld6

ld7

ld8

ld9

ld5

Advertisements