DSC_5099

Hajah Faridah ketika berucap merasmikan Hari Perpustakaan UTeM 2016

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan Hari Perpustakaan 2016 bertujuan untuk menyatakan kepentingan perpustakaan sebagai platform memperkasa budaya membaca dan gedung ilmu pengetahuan serta bermaklumat.

Ketua Pustakawan UTeM, Faridah Md Amin berkata, program tersebut merupakan kesinambungan daripada program yang pernah diadakan terdahulu seperti Festival Membaca dan Jom Borak yang bertujuan menarik minat para pelajar mengunjungi perpustakaan disamping mengurangkan persepsi pelajar bahawa perpustakaan sesuai untuk ulat buku.

Jelas beliau lagi, program yang telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 2 hingga 4 Mac itu juga menjadi platform untuk menarik minat pelajar berkunjung ke perpustakaan sekaligus mempromosi peranan Perpustakaan UTeM yang telah beroperasi sejak tahun 2001.

“Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya pertandingan monopoli elektronik, dam ular gergasi, roda impian, Library Treasure Hunt, permainan congkak, pengguna bertuah dan teka muka surat buku. Turut diadakan ialah pameran pangkalan data, gerai-gerai jualan dan Kaunter Bertemu Pelanggan” ujar beliau ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di Kampus Induk Durian Tunggal di sini.

“Antara aktiviti yang paling mendapat sambutan para pelajar dan staf adalah permainan Counter Strike yang memerlukan kerjasama berpasukan untuk mengalahkan musuh dan program derma darah,” katanya.

Faridah berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan program tersebut sebagai acara tahunan bagi menghidupkan suasana santai dalam perpustakaan sewaktu sesi pembelajaran dan memberikan dorongan serta semangat di samping membentuk modal insan yang cemerlang dari segi lahiriah dan rohaniah.

“Perpustakaan bukan sahaja terhad sebagai tempat menimba ilmu dan pusat rujukan, malah ia juga boleh dijadikan sebagai lokasi santai untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat khususnya kepada para pelajar di waktu senggang” ujar beliau.
Jelas beliau, program itu juga juga telah mendapat sambutan yang positif serta memberangsangkan dari seluruh warga UTeM dan turut memberi ruang kepada pelajar untuk menggunakan keseluruhan ruang perpustakaan sebagai wadah pencetus maklumat secara santai disamping dapat memberi informasi yang bermanfaat.

“Selain itu, ia dapat membina hubungan dan mengeratkan silaturahim di kalangan staf dengan seluruh warga kampus dan secara tidak langsung dapat mempromosikan aktiviti yang dijalankan oleh perpustakaan,“ ujarnya.

DSC_5095

Sebahagian peserta mendengar ucapan perasmian Hari Perpustakaan 2016

DSC_5248

Permainan dam ular gergasi

Advertisements