Pejabat Ketua Pegawai Maklumat (CIO) telah mengadakan Bengkel Pemerkasaan Pelan Strategik Pejabat CIO pada 14 dan 15 Februari 2017 bertempat di Bilik Jamuan VVIP 1, Dewan Besar UTeM. Bengkel selama dua hari ini bertujuan untuk menilai semula pelan strategik pusat tanggungjawab di bawah Pejabat CIO seperti Pusat Perkhidmatan Pengetahuan & Komunikasi (PPPK), Perpustakaan dan Pejabat Penerbit. Di samping itu ia juga bertujuan untuk membentuk pelan strategik Pejabat CIO untuk tempoh 5 tahun sehingga tahun 2022.

Taklimat Pelan Strategik telah disampaikan oleh Dr. Abdul Karim Mohamad, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti & Risiko (PSSKR) bagi menjelaskan hala tuju ketiga-tiga pusat tanggungjawab. Para peserta bengkel kemudiannya berbincang dari segi penyediaan peta strategi dan akhirnya membentangkan peta strategi yang telah dipersetujui ahli kumpulan.

Penghasilan peta strategi ketiga-tiga pusat tanggungjawab iaitu PPPK, Perpustakaan dan Pejabat Penerbit daripada Bengkel Pemerkasaan Pelan Strategik Pejabat CIO ini telah dirumuskan sebagai berjaya oleh Profesor Dr. Mokhtar Mohd Yusof, Pengarah Pusat Pengurusan Strategik, Kualiti & Risiko (PSSKR). Turut hadir sepanjang bengkel ini berlangsung ialah Encik Mohd Isa Mohd Dom, Ketua Pegawai Maklumat UTeM.

Advertisements