Hari ini, 21 Mac 2017, Perpustakaan UTeM dengan kerjasama Muzium Penjara Malaysia, Melaka telah menganjurkan aktiviti ‘Talk Show @ Library : Kisah Di Sebalik Tirai Besi’ di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM. Aktiviti anjuran Unit Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Rujukan, Perpustakaan UTeM ini dihadiri seramai 52 orang yang terdiri daripada staf dan pelajar UTeM.

Di antara objektif talk show ini ialah bagi menjalin kerjasama strategik dan perkongsian pintar dengan agensi kerajaan bagi meningkatkan hubungan dengan komuniti di samping mempromosi perkhidmatan Perpustakaan kepada warga universiti, agensi kerajaan dan masyarakat luar.

Talk show disampaikan oleh Tuan Jamaludin Elias, Penolong Penguasa Penjara yang merupakan Timbalan Pengarah Muzium Penjara Malaysia Melaka.

Di antara kandungan talk show ini ialah promosi tentang Muzium Penjara Malaysia Melaka di mana dengan melawat muzium tersebut, lebih banyak maklumat akan diperolehi secara nyata.

Peserta diberikan kesedaran tentang bentuk-bentuk hukuman yang akan dijalani oleh seseorang banduan apabila dijatuhi hukuman oleh pihak mahkamah. Di antaranya denda, penjara mengikut tempoh, penjara sepanjang hayat, penjara seumur hidup, sebatan rotan dan hukuman gantung sampai mati. Penceramah juga menarik perhatian peserta dengan kisah-kisah di sebalik tirai besi yang tidak kita ketahui selama ini.

penjara

Turut hadir ialah Encik Arman Mohammad, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan dan Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan, Perkhidmatan Maklumat.

Sempena dengan ‘Talk Show @ Library : Kisah Di Sebalik Tirai Besi’, satu pameran berkaitan dengan aktiviti Jabatan Penjara Malaysia juga diadakan di Ruang 24 jam selama 2 hari iaitu pada 21 dan 22 Mac 2017. Pengguna perpustakaan boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang bertugas di pameran tersebut.

Advertisements