Perpustakaan UTeM merupakan salah satu daripada tujuh pusat tanggungjawab yang menerima pengiktirafan 1 Bintang dalam melaksanakan polisi tenaga di pusat tanggungjawab berdasarkan Matrik Pengurusan Tenaga PTj (MaPTeP) pada tahun 2016. Pengumuman tersebut dibuat oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor UTeM dalam Majlis Perhimpunan 1UTeM di Dewan Besar UTeM pada 19 April 2017.

Selain Perpustakaan, penerima pengiktirafan 1 Bintang polisi tenaga di pusat tanggungjawab ialah Pengurusan Tenaga Pusat Kesihatan UTeM, Pengurusan Tenaga FKE, Pengurusan Tenaga FTK, Pengurusan Tenaga FKP, Pengurusan Tenaga Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Tenaga FPTT. Sejumlah 20 pusat tanggungjawab terlibat dengan pelaksanaan polisi tenaga UTeM pada tahun lepas.

Sijil penghargaan kepada wakil-wakil pusat tanggungjawab telah disampaikan oleh Naib Canselor UTeM. Sijil penghargaan kepada Pengurusan Tenaga Perpustakaan diterima oleh Puan Mez Zelina Yusof selaku Penolong Pengurus Tenaga, Perpustakaan UTeM.

Pengiktirafan 1 Bintang Polisi Tenaga UTeM bertujuan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan polisi tenaga di pusat tanggungjawab sebagai salah satu cara bagi memastikan kelangsungan pengurusan tenaga yang berkesan di pusat tanggungjawab yang terlibat.

Pusat tanggungjawab yang terpilih menerima pengiktirafan ini telah memberikan komitmen yang padu dan berusaha melaksanakan penjimatan tenaga secara berterusan di pusat tanggungjawab masing-masing berdasarkan 6 elemen yang ditetapkan pada Matrik Pengurusan Tenaga PTj (MaPTeP) sebagai elemen yang diukur untuk pengurusan tenaga yang lestari.

Pihak Pengurusan Tenaga Perpustakaan telah memberi komitmen yang baik dan bekerjasama dengan pihak Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA) dengan melantik Penolong Pengurus Tenaga PTj dan ahli jawatankuasa. Di samping itu, Perpustakaan juga menghantar ahli jawatankuasa menghadiri kursus yang dianjurkan oleh PKA.

Inisiatif lain ialah Perpustakaan juga turut mengadakan program-program kesedaran di pusat tanggungjawab mengikut polisi/MaPTeP yang telah ditetapkan.

Perpustakaan juga turut menjalani audit yang telah ditetapkan iaitu Audit Dalaman Penarafan Energy Management Gold Star (EMGS) 1 Bintang pada 1 hingga 2 November 2016 dan Audit Pengurusan Tenaga peringkat ASEAN pada 21 hingga 22 November 2016.

AJK Pengurusan Tenaga Perpustakaan terdiri daripada lapan orang ahli jawatankuasa iaitu Puan Mez Zelina Yusof, Encik Mohd Mawardi Badruddin, Puan Noridayu Baharom, Encik Mohamad Azhari Johari, Encik Azman Amir, Encik Muhammad Hafeez Zainuddin, Encik Ahmad Abu Bakar dan Puan Siti Syahirah Ab. Rahim.

Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Advertisements