Seramai 29 orang pelajar semester akhir Program Sarjana Muda Sains Pengurusan Maklumat (Kepujian) Pengurusan Perpustakaan dan Maklumat, Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan UTeM pada 9 Jun 2017. Lawatan ini diketuai oleh Puan Sufy Rabea Adawiyah Idris, Pensyarah FPM Kampus Rembau.

Tujuan lawatan ialah bagi memenuhi keperluan pengajaran bagi subjek IML656 iaitu Planning and Designing of Libraries and Information Centers. Ia juga sebagai pendedahan kepada pelajar terhadap perancangan dan rekaan sebuah perpustakaan dan memahami konsep perancangan serta rekaan dalaman dan luaran sesebuah perpustakaan dan pusat maklumat.

Taklimat lawatan disampaikan oleh Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan, Bahagian Perkhidmatan Maklumat bersama Puan Norshahila Che Din, Pustakawan Unit Promosi.

Maklumat yang dikongsikan ialah pembinaan Perpustakaan UTeM pada peringkat perancangan hinggalah siapnya bangunan serta masalah-masalah yang dihadapi selepas bangunan diduduki oleh staf perpustakaan. Di antara fasa-fasa pembinaan perpustakaan ialah perancangan dan pembinaan bangunan, perpindahan peralatan dan buku-buku, perolehan perabot, menaiktaraf ruang dan sebagainya.

Para pelajar juga dibawa melawat keseluruhan aras bangunan perpustakaan bagi melihat sendiri ruang-ruang dan bilik-bilik yang dikhususnya kepada pengguna perpustakaan. Di samping itu juga penerangan disampaikan oleh Puan Suzana Lazim dan Puan Kamariah Khamis, Pembantu Pustakawan Kanan semasa lawatan berpandu.

Sebelum bertolak balik, sesi bergambar diadakan di Ruang Legar Perpustakaan bersama Encik Arman Mohammad, Pemangku Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTeM.

Advertisements