Penganjuran Karnival/Pesta Buku Perpustakaan Laman Hikmah (PLH) UTeM 2018 yang telah berlangsung pada 26 hingga 29 September 2018 menggabungkan dua aktiviti utama PLH hasil kesinambungan pelaksanaan Pesta Buku dan Multimedia UTeM dan Library Day 2.0 pada tahun 2017. Ianya menjadi satu medan untuk menggalakkan warga UTeM khususnya dalam membudayakan amalan membaca dan komuniti luar secara amnya, disamping sebagai platform utama kepada staf akademik untuk melakukan pemilihan bahan rujukan bagi tahun 2019 dan seterusnya mempromosikan PLH dari nama, lokasi dan perkhidmatan yang disediakan kepada pengunjung.

Karnival/Pesta Buku yang berlangsung selama empat hari ini dipenuhi dengan pelbagai pertandingan, aktiviti, pameran dan gerai jualan makanan serta minuman. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan ialah Pertandingan Inovasi “Waste to Product”, Pertandingan “Environment Hunt”, Pertandingan Minda Kreatif, Pertandingan “Virtual Games”, Pertandingan Steps of Fortune”, Pertandingan “Clever Star” dan pelbagai lagi. Aktiviti seperti Pertandingan Inovasi “Waste to Product” melibatkan penyertaan yang menggalakkan daripada pelajar sekolah menengah di sekitar Melaka. Bukan itu sahaja, Karnival/Pesta Buku ini dimeriahkan lagi dengan acara penutup iaitu larian “Environment Fun Run” yang mendapat penyertaan melebihi 200 orang termasuk pelajar, kakitangan UTeM dan tidak ketinggalan penyertaan luar.

Tidak sah rasanya jika penganjuran Karnival / Pesta Buku tidak diadakan pameran daripada para pembekal buku. Terdapat pelbagai genre buku yang dibawa khas ke Karnival/Pesta Buku di Perpustakaan Laman Hikmah UTeM. Sambutan daripada para pensyarah dan pelajar ke tapak pameran buku juga memberansangkan.

Secara umumnya objektif penganjuran Karnival/Pesta Buku ini adalah tercapai. Yang mana antara objektif penganjuran adalah menjadi satu inisiatif mendekatkan PLH dengan warga kampus dan masyarakat setempat melalui aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan. Usaha ini diharapkan dapat mempromosikan aktiviti serta perkhidmatan yang disediakan di PLH dan sekaligus meningkatkan jumlah pengunjung secara fizikal ke Perpustakaan dan statistik penggunaan perkhidmatan yang disediakan. Selain tu, ianya juga memberi peluang kepada warga universiti dan komuniti setempat khususnya pencinta buku untuk mendapatkan naskah terkini bahan-bahan bacaan yang terdapat di pasaran secara terus daripada penerbit dan pembekal buku yang terpilih.

Jumpa anda semua di Karnival/Pesta Buku Perpustakaan Laman Hikmah UTeM di tahun hadapan!

Advertisements