20 Oktober setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Statistik Negara. Sambutan Hari Statistik Negara merupakan inisiatif bagi memupuk kesedaran dan merakyatkan statistik di kalangan masyarakat Malaysia.

Sempena sambutan Hari Statistik Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia Zon Selatan dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka telah menganjurkan seminar bertajuk ”Statistik Memperkasa Cendekiawan” pada 18 Oktober 2018 (Khamis) bertempat di Dewan UTeM 1, Kampus Teknologi, UTeM. Seramai 248 peserta telah menghadiri seminar ini yang terdiri daripada staf dan pelajar UTeM, UTHM, KYS serta wakil DOSM Zon Selatan. Seminar ini merupakan sebahagian daripada pengisian program ”Road to Hari Statistik Negara 2018” yang akan diadakan pada 20 Oktober 2018.

Antara objektif penganjuran seminar ini adalah mengenali Jabatan melalui penerangan tentang fungsi, peranan dan kepentingan DOSM dalam penjanaan statistik rasmi, meningkatlan literasi dan celik statistik di kalangan warga UTeM, meningkatkan pendedahan mengenai Banci Penduduk & Perumahan Malaysia 2020 serta mempromosikan aktiviti DOSM.

Bagi Bicara Stats, sebanyak empat kertas seminar telah dibentangkan oleh wakil dari DOSM iaitu Mengenali Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), My Local Stats, How to Make Statistic Interesting serta Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Selain itu, pameran mini DOSM Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Banci 2020 serta Perpustakaan Laman Hikmah turut diadakan di ruang legar Dewan UTeM 1.

Kerjasama ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan strategik di antara kedua-dua pihak seperti mana yang dipersetujui melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani pada 15 Ogos 2017.

Advertisements