Bagi menyokong Dekad Membaca Kebangsaan 2030, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Pusat Sitasi Malaysia (PSM) telah mengambil inisiatif mewujudkan program Read@Uni dengan slogan “With Knowledge We Lead” sebagai menyokong hasrat kerajaan dalam menyemarakkan budaya membaca di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia.

Sehubungan dengan itu, perpustakaan di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta adalah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan aspirasi program “Read@Uni” ini bermula 1 Oktober 2018. Objektif penganjuran program ini adalah untuk mempergiat aktiviti galakan membaca di kalangan mahasiswa, pensyarah dan warga institusi. Slogan “With Knowledge We Lead” diyakini akan dapat menyemarakkan lagi pembacaan dalam kalangan kumpulan sasaran.

Pada 29 November 2018 (Khamis) yang lalu telah diadakan Majlis Pelancaran Kempen Membaca Read@Uni Institusi Pendidikan Tinggi bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Majlis yang bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 5.30 petang telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia. Turut hadir bersama sewaktu majlis pelancaran ini berlangsung adalah YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hassan Bin Said, Naib Canselor UiTM, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Binti Tapsir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Madya Dr. Zuraidah Binti Abd Manaf, Ketua Pusat Sitasi Malaysia (PSM) dan wakil-wakil dari lebih 30 buah IPT seluruh Malaysia. Perpustakaan Laman Hikmah, UTeM turut diwakili oleh lima orang pegawai yang diketuai oleh Puan Siti Saluwa Binti Jamal, Timbalan Ketua Pustakawan dan turut  serta di dalam pameran Read@Uni.

Antara pengisian majlis ialah ucapan alu-aluan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Hassan Bin Said, Naib Canselor UiTM, ucapan pelancaran oleh YB. Dr. Maszlee Bin Malik, pelancaran Video Read@Uni, penyerahan Garis Panduan Pelaksanaan Program Read@Uni, penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Poster Read@Uni dan pemenang Pameran Terbaik Read@Uni. Tetamu yang hadir turut dipertontonkan dengan  persembahan Teater Pendek oleh Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM dan seterusnya lawatan ke tapak pameran serta majlis diakhiri dengan Jamuan Hi-Tea.

“Banyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya-karya besar, wacana dan debat tentang buku-buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran yang tinggi” merupakan salah satu petikan kata-kata oleh YB. Dr. Maszlee Bin Malik ketika berucap di majlis pelancaran tersebut. Tahniah diucapkan kepada Perpustakaan Sultanah Zanariah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah memenangi hadiah bagi Pameran Terbaik Read@Uni peringkat IPT. Perpustakaan Laman Hikmah menyokong penuh aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Program Read@Uni ini bagi memupuk minat membaca di kalangan warga institusi seterusnya mewujudkan negara membaca pada tahun 2030.

Advertisements